DUA wanita cedera ringan, manakala dua kucing dan seekor anjing mati dalam kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Rembau hari ini.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan peliharaan dikatakan membawa 20 kucing dan lima anjing di dalam sebuah van.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah van.
‘’Lori jenis Hino itu dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari Johor menghala ke Perak dan difahamkan berada di lorong kiri.
Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti dari lorong tengah secara tiba-tiba masuk ke lorong kiri di hadapan lori berkenaan,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, akibatnya lori itu mengelak ke kiri dan masuk ke lorong kecemasan lalu melanggar bahagian belakang sebuah van jenis Nissan Urvan yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.
“Van itu dikatakan sedang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah teknikal dan menunggu bantuan pihak lebuh raya. Kesan pelanggaran menyebabkan van bergerak ke hadapan sebelum terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan, dua penumpang wanita berusia 33 dan 41 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan di pesakit luar Hospital Rembau,” katanya.


