12 anggota polis direhatkan, siasatan kes samun kripto diteruskan

SERAMAI 12 anggota polis yang disiasat kerana dipercayai terbabit dalam kes samun mata wang kripto milik seorang warga asing telah direhatkan daripada tugas aktif.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan teknikal daripada agensi berkaitan sebelum siasatan dapat dibawa ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, laporan tersebut penting memandangkan kes berkenaan melibatkan transaksi mata wang kripto yang memerlukan penelitian pakar.

“Laporan teknikal masih lagi diperlukan kerana membabitkan transaksi mata wang kripto, justeru kita menunggu laporan daripada agensi yang bersifat teknikal.

“Ia hampir selesai namun kita tidak dapat merujuk kepada pihak pendakwaan negeri lagi kerana masih menunggu laporan teknikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan.

Kes tersebut melibatkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto milik sekumpulan warga China.

Kesemua anggota yang ditahan terdiri daripada pelbagai pangkat iaitu seorang Asisten Superintendan, Inspektor, Sarjan, enam Koperal, dua Lans Koperal dan seorang Konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img