Pemandu bas riba wanita ditamatkan perkhidmatan 

PEMANDU bas ekspres yang didakwa mengendalikan kenderaan itu dengan meriba seorang wanita seperti video tular di media sosial, ditamatkan perkhidmatan serta merta oleh syarikat bas Sri Maju Group, hari ini.

Menurut kenyataan rasmi syarikat itu, mengesahkan pemandu dalam video tersebut adalah pekerjanya.

Menurutnya, insiden berkenaan berlaku dalam sebuah bas ekspres pihaknya yang beroperasi bagi laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin, Johor Bahru, semalam dan ia disifatkan amat mengecewakan, membimbangkan sekali gus tidak boleh diterima.

Katanya, susulan itu pihaknya juga sudah mengambil beberapa tindakan iaitu membuat satu laporan polis secara rasmi terhadap pemandu berkenaan berhubung insiden itu.

“Perkhidmatan pemandu berkenaan bersama Sri Maju Group sudah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Insiden itu sudah dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kami sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.

“Selain itu, mengambil langkah penambahbaikan pemantauan video. Sistem pengawasan video bagi pemandu dan di dalam bas sudah dipasang pada bas baharu kami dan kerja pemasangan sedang dilaksanakan dengan kadar segera bagi bas sedia ada yang belum dilengkapi dengan sistem berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang yang terbabit serta kepada orang awam.

Tambah kenyataan itu, keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan, dan tindakan pemandu berkenaan jelas melanggar prosedur operasi standard serta etika profesional yang ditetapkan.

“Syarikat tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Sri Maju Group menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab dan profesional kepada semua pengguna.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img