PEJABAT Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran imej palsu di media sosial yang mendakwa Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Menurut pejabat berkenaan, kandungan tersebut adalah fitnah serta hasil manipulasi digital yang tidak benar dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan itu, laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.
Terdahulu, muat naik tular itu mendakwa Mohamad Sabu mencadangkan penjawat awam menanam ganja di rumah susulan konflik di Asia Barat, sebelum ia dikemaskini dengan label sebagai palsu.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, beliau hanya menggalakkan penjawat awam yang memiliki rumah bertanah menanam sayur-sayuran sebagai langkah menambah bekalan makanan domestik sekiranya konflik berlarutan.


