SEORANG jurujual kerugian RM427,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa lelaki berusia 44 tahun itu dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Disember tahun lalu.
Menurutnya, suspek menawarkan pelaburan dikenali sebagai ‘Growth Investment’ yang menjanjikan keuntungan sehingga 10 peratus dalam tempoh hanya 30 minit.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan diberikan serta mendaftar sebagai ahli,” katanya.
Beliau berkata, dari 10 Februari hingga 3 April lalu, mangsa melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM427,000.
“Mangsa hanya menerima keuntungan sekali pada peringkat awal iaitu RM23,000 sebelum tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya.
Tambahnya, kerugian itu melibatkan wang simpanan mangsa serta hasil jualan tanah.
Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Orang ramai juga disarankan membuat semakan melalui portal Semak Mule serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan,” katanya.


