JABATAN Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) melaksanakan operasi khas di Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) awal pagi, kelmarin susulan aduan berterusan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan.
Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 3 pagi hingga 5 pagi itu dijalankan menerusi Unit Falcon dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya.
Menurutnya, kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ aktiviti lumba haram terutama pada hujung minggu.
“Antara aduan diterima termasuk aktiviti berkumpul secara besar-besaran, penggunaan lebuh raya sebagai litar perlumbaan, aksi menduga kelajuan serta bunyi bising melampau daripada kenderaan diubah suai.
“Lebih membimbangkan, terdapat remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun terlibat dan kebanyakan ibu bapa tidak menyedari penglibatan anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dilakukan termasuk tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak dipamerkan atau fancy, penggunaan nombor pendaftaran milik kenderaan lain, ubah suai ekzos melampau, tiada brek belakang serta tiada nombor enjin.
“Seramai 80 individu diperiksa, 283 saman dikeluarkan dan 26 motosikal disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambahnya, terdapat juga individu yang bertindak agresif serta cuba melarikan diri daripada penguat kuasa, manakala kos pengubahsuaian motosikal dipercayai mencecah sehingga RM10,000 semata-mata untuk tujuan perlumbaan haram.
“JPJ memandang serius kegiatan ini kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kita menyeru ibu bapa memantau pergerakan anak-anak dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menegaskan operasi bersepadu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan Lebuhraya DUKE dan kawasan sekitarnya terus bebas daripada aktiviti lumba haram serta selamat digunakan oleh orang awam.


