PAS menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan terkini oleh kepimpinan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura yang dilaporkan mengaitkan Iran dan proksinya dengan aktiviti keganasan, serta mencadangkan kemungkinan kewujudan rangkaian seperti “operatif Hamas” di negara jiran.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan sedemikian yang dibuat secara terbuka tanpa bukti jelas berisiko disifatkan sebagai tidak sensitif dan boleh menimbulkan syak wasangka tidak adil terhadap negara-negara jiran yang selama ini mempunyai kerangka kukuh dalam usaha memerangi keganasan serta kerjasama serantau yang erat.
‘’Pas turut mempersoalkan pendekatan yang dilihat cenderung kepada naratif geopolitik tertentu dalam menggambarkan konflik Asia Barat, di samping membayangkan kemungkinan kehadiran militan di Asia Tenggara. Perkara ini, menurut mereka, menimbulkan persoalan mengenai motif dan kewajaran kenyataan tersebut dibuat pada masa ini.
‘’Negara-negara Asia Tenggara telah lama menunjukkan ketahanan dalam menangani ekstremisme melalui perkongsian risikan dan mekanisme keselamatan bersepadu. Justeru, kenyataan terbuka mengenai kemungkinan kehadiran militan asing di negara jiran berpotensi menjejaskan rekod tersebut serta meningkatkan ketegangan serantau secara tidak perlu,’’ katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, kata beliau Pas menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej berkaitan keselamatan awam, khususnya apabila ia melibatkan implikasi terhadap hubungan serantau.
“Persediaan adalah penting, namun ia mesti disertai dengan komunikasi yang bertanggungjawab bagi mengekalkan kepercayaan, mengelakkan spekulasi dan memelihara kestabilan serantau,” kata beliau.


