SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan diesel ke Filipina.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan individu terbabit dan turut menyita peranti komunikasi yang digunakan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, dakwaan kononnya sebanyak 329,000 tong diesel milik Malaysia dihantar ke Filipina adalah tidak benar, sebaliknya bahan api itu milik syarikat perdagangan antarabangsa, Vitol.
“MCMC memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai, terutama berkaitan isu tenaga dan ekonomi semasa
“Setakat 14 April lalu, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global yang tular di media sosial susulan konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik naik serta kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran.
Selain itu, turut tular dakwaan pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura serta penghantaran diesel syarikat Vitol ke Filipina yang disalah anggap sebagai milik Malaysia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk sumber rasmi sebelum berkongsi sebarang berita.


