SEORANG individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang manakala lima lagi dikenakan kompaun kerana menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes berkenaan.
Menurut kenyataan itu, satu kes diputuskan untuk pendakwaan, manakala lima kes lagi ditawarkan kompaun dan empat kes diberikan surat amaran.
“MCMC telah mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terlibat dengan nilai RM25,000 setiap seorang,” menurut kenyataan itu.
Kesemua tindakan diambil hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.


