HARGA petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi akan diturunkan sebanyak 25 sen seliter di seluruh negara bermula esok, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia menyaksikan penurunan lebih ketara sebanyak 75 sen seliter.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan memaklumkan harga RON97 akan ditetapkan pada RM5.10 seliter berbanding RM5.35 sebelum ini.
Sementara itu, harga RON95 tanpa subsidi turut menurun daripada RM4.27 kepada RM4.02 seliter. Bagi diesel di Semenanjung Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM5.97 seliter, turun daripada RM6.72 sebelum ini.
Namun begitu, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah. RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Harga petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) juga kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter. Semua harga ini berkuat kuasa sehingga 22 April.

Menurut kementerian itu, kerajaan kekal komited memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.
Ia terbukti apabila kerajaan meningkatkan bantuan tunai kepada pengguna diesel di bawah dua skim Budi Madani kepada RM400 bagi April, berbanding RM300 pada Mac, sekali gus menggandakan jumlah asal bantuan tersebut. Tambahan RM100 akan disalurkan pada 21 April.

Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan membelanjakan kira-kira RM7 bilion sebulan bagi subsidi bahan api berdasarkan harga minyak semasa.
MoF turut memaklumkan bahawa bil subsidi RON95 telah meningkat daripada RM300 juta sebulan sebelum tercetusnya konflik di Asia Barat kepada sekitar RM4 bilion sebulan ketika ini.
Pada masa sama, subsidi diesel turut melonjak daripada RM400 juta sebulan kepada kira-kira RM3 bilion sebulan.


