POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan sebanyak 191 individu menerusi 231 serbuan dalam operasi Op Langka yang dijalankan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Kedah dan Perlis pada 9 April hingga 12 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu susulan kebimbangan terhadap peningkatan masalah penyalahgunaan dadah di dua negeri terbabit.
“Usaha membanteras dan melumpuhkan sepenuhnya rantaian bekalan dadah sehingga ke akar umbi, kita telah melancarkan Op Langka dengan memberi fokus kepada daerah Langkawi, Kuala Kedah dan Perlis.
“Hasil tindakan operatif dan gerak gempur yang dilaksanakan, sebanyak 231 serbuan dan seramai 191 orang berjaya ditangkap, di bawah pelbagai kesalahan, di samping merampas pelbagai jenis dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Susulan daripada Op Langka yang dijalankan itu, Hussein berkata, pihaknya turut berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM13.68 juta dalam satu operasi susulan.
“Kejayaan itu dicapai menerusi Op Conops yang dilancarkan pada 12 April lalu di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, hasil risikan daripada pelaksanaan Op Langka.
“Dalam Op Conops, seramai tujuh individu termasuk dua warga asing berusia antara 28 hingga 43 tahun ditahan. Sindiket ini dikesan menggunakan unit kondominium mewah sebagai stor penyimpanan dan pusat pembungkusan semula dadah sebelum dipasarkan ke luar negara serta pasaran tempatan, “katanya.
Menurutnya, sindiket yang aktif sejak Disember 2025 itu menggunakan modus operandi licik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bagi pasaran tempatan, mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing dan kurier seperti Grab dan Lalamove. Untuk pasaran antarabangsa pula, mereka menggunakan khidmat keldai dadah dengan menyembunyikan bekalan di dalam bagasi.
“Lima daripada individu yang ditahan direman sehingga 19 April ini manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


