SEORANG jurulatih wusyu didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, tahun lalu.
Tertuduh, Yang Chin Cheong, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar yang berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah sekolah menengah di Alor Setar pada 1 tengah hari, 5 Disember 2025.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Hanis Nabila Rosli.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Hakim turut menetapkan kes ini untuk sebutan semula pada 18 Mei depan.


