ARAB Saudi dan Mesir dilaporkan secara senyap membangunkan sebuah koridor logistik baharu untuk menjamin bekalan keperluan negara-negara Teluk dari pasaran antarabangsa.
Koridor ini dibangunkan di tengah isu keselamatan dan ketegangan geopolitik tinggi susulan konflik AS–Israel dengan Iran.
Koridor baharu ini memanfaatkan pelabuhan-pelabuhan di kawasan Mediterranean di Mesir dan Laut Merah, yang menghubungkan ke pelabuhan-pelabuhan di Laut Merah berhampiran Arab Saudi. Laluan ini mewujudkan “jambatan” logistik yang membantu negara-negara Teluk mengelakkan konflik yang sedang berlaku di Selat Hormuz.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ratusan tan kargo dilaporkan membanjiri Pelabuhan Damietta milik Mesir. Kargo-kargo tersebut datang dari Eropah, khususnya dari Pelabuhan Trieste di Laut Adriatik.
Ratusan kargo itu kemudian dipindahkan ke Pelabuhan Safaga di Laut Merah sebelum dihantar ke pasaran Teluk melalui pelabuhan-pelabuhan Arab Saudi seperti Pelabuhan Duba di Laut Merah.
Menurut pakar pengangkutan maritim, koridor logistik baharu ini mengurangkan masa perjalanan dan kos, sekali gus memberi kesan kepada harga keseluruhan barangan di pasaran negara-negara Teluk.
“Selain harga dan tempoh ketibaan kargo, koridor baharu menyediakan laluan alternatif maritim yang ketika ini terganggu akibat konflik Iran,” kata pakar pengangkutan maritim dari Mesir, Ahmed al-Shami,lapor The New Arab.
l-Shami menganggarkan negara-negara di Teluk Parsi akan semakin bergantung kepada koridor ini untuk perdagangan dengan Eropah dan kawasan lain, khususnya jika ancaman Iran terhadap kebebasan pelayaran di Selat Hormuz berterusan dalam tempoh yang tidak dapat diramalkan.
“Kebergantungan terhadap koridor ini akan meningkat pada masa hadapan, namun pelabuhan di Mediterranean dan Laut Merah perlu lebih bersedia untuk mengendalikan jumlah besar kapal kontena,” tambahnya.
Koridor logistik baharu ini terhasil selepas Mesir melancarkan perkhidmatan transit kapal Ro-Ro yang bertujuan membina laluan penghubung antara pasaran Eropah dan Teluk yang lebih selamat daripada gangguan.
Kepentingan koridor ini meningkat susulan berterusannya penutupan Selat Hormuz serta hasrat Iran untuk mengenakan tarif tol ke atas kapal yang melaluinya.
Selepas Iran menutup Selat Hormuz atas faktor keselamatan semasa perang, Presiden AS Donald Trump turut melaksanakan dasar sekatan maritim. CENTCOM menguatkuasakan sekatan terhadap semua lalu lintas maritim yang keluar masuk pelabuhan Iran bermula Isnin lalu jam 14:00 GMT (pukul 10 malam waktu Malaysia).
“Pasukan CENTCOM akan mula melaksanakan sekatan ke atas semua lalu lintas maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran pada 13 April, jam 10:00 pagi ET (14:00 GMT), selaras dengan pengisytiharan Presiden (Donald Trump),” menurut kenyataan tersebut.
Arab Saudi juga dilaporkan mendesak AS untuk menghentikan sekatan di Selat Hormuz dan kembali berunding dengan Iran, menurut laporan The Wall Street Journal pada Selasa , yang memetik pegawai serantau.
Menurut laporan itu, Arab Saudi bimbang sekatan Trump boleh mendorong Iran meningkatkan eskalasi dan mengganggu laluan perkapalan penting lain.
Negara itu turut bimbang Iran akan membalas sekatan dengan menutup Bab al-Mandeb — laluan sempit strategik di Laut Merah yang sangat penting bagi eksport minyak Saudi.
“Negara-negara Teluk tidak mahu perang berakhir dengan Iran menguasai Selat Hormuz, laluan ekonomi paling penting mereka,” menurut laporan itu.


