Imigresen serbu sarang pelacur guna taktik tempahan melalui WhatsApp

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan sindiket pelacuran berselindung di sebalik pusat urut yang dikesan menawarkan tempahan melalui aplikasi WhatsApp di Bukit Rimau, Seksyen 32 Shah Alam malam tadi.

Kejayaan itu hasil serbuan melalui Op Gegar bermula jam 8 malam di beberapa premis disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral itu di sekitar Bukit Rimau yang disertai sebanyak  37 pegawai penguat kuasa.

Wakil media yang menyertai serbuan mendapati premis terbabit menawarkan pakej urut serendah RM40, namun boleh mencecah RM200 jika ingin melakukan hubungan seks di bilik yang setiap satu dilengkapi tilam.

Selain itu, sindiket turut menyediakan katalog khas dalam memaparkan wanita berpakaian seksi untuk menarik minat pelanggan.

Salah seorang tukang urut warga Thailand yang ditahan memberitahu, dia sudah setahun berada di negara ini dan biasanya melayan dua hingga tiga pelanggan sehari dengan tempahan diuruskan oleh penjaga premis melalui WhatsApp.

Sementara itu, Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, sindiket itu  menggunakan kaedah tempahan secara dalam talian dengan pelanggan memilih wanita berdasarkan gambar dihantar melalui WhatsApp.

“Pelanggan kemudian hadir ke premis untuk mendapatkan pakej urutan serta khidmat seks. Hasil pemeriksaan, 11 warga asing berusia 18 hingga 40 tahun ditahan bagi tindakan lanjut, iaitu seorang warga Vietnam, empat warga Thailand, dua warga China dan empat warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang pas yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi tujuan reman dan siasatan lanjut.

Katanya, JIM Selangor akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti pelacuran serta penyalahgunaan pas lawatan di negeri ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img