JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan sebanyak 21 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di dua premis urut dan refleksologi di sekitar Johor Bahru pada Khamis lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil risikan dan maklumat awam, kesemua mereka terdiri daripada 12 wanita dan tujuh lelaki warga Myanmar serta dua wanita China dipercayai tukang urut berusia antara 18 hingga 41 tahun telah ditahan kira-kira jam 3 petang.
“Kedua-dua premis dipercayai menggajikan warga asing tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial. Pengurus premis, seorang warga tempatan turut ditahan dalam Ops Gegar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak tujuh borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” katanya.


