PIHAK berkuasa di Makkah menahan seorang lelaki warga Mesir yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan berkaitan perkhidmatan haji.
Suspek didapati menyebarkan iklan palsu dan mengelirukan melalui media sosial, termasuk menawarkan perkhidmatan haji serta permit memasuki kawasan suci tanpa kebenaran sah.
Saudi Gazette melaporkan, selepas melengkapkan prosedur undang-undang, individu tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara Arab Saudi untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Jabatan Polis Arab Saudi mengingatkan orang ramai termasuk warga asing agar mematuhi semua peraturan dan garis panduan berkaitan ibadah haji.
Orang awam turut digesa melaporkan sebarang pelanggaran melalui talian kecemasan 911 bagi kawasan Makkah, Riyadh, Madinah dan Wilayah Timur, manakala talian 999 digunakan bagi kawasan lain di Arab Saudi.
Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa bermula 13 April, warga asing tanpa permit rasmi dilarang memasuki kota suci Makkah. Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah slogan “Tiada Haji Tanpa Izin” yang diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Berdasarkan peraturan tersebut, hanya individu dengan kriteria berikut dibenarkan masuk ke Makkah pemegang permit kediaman (iqama) yang dikeluarkan di Makkah, pemegang permit haji rasmi (tasrikh) dan pemegang permit kerja khas di kawasan tanah suci.
Mana-mana individu yang gagal mengemukakan dokumen sah akan diarahkan berpatah balik di sekatan keselamatan di pintu masuk bandar itu.
Langkah penguatkuasaan ini bertujuan memastikan keselamatan serta kelancaran pengurusan jutaan jemaah haji yang dijangka menunaikan ibadah pada musim akan datang.


