AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan insiden bot membawa ratusan migran yang dilaporkan karam di Laut Andaman baru-baru ini tidak berlaku dalam perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kejadian itu sekali gus tidak berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab operasi pihaknya.
Menurut beliau, sebarang operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di laut tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian selaras dengan konvensyen maritim antarabangsa.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat laporan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara, Maritim Malaysia akan segera mengatur gerak aset untuk operasi CARILAMAT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Maritim Negeri Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Op GUARD setakat ini, namun aset APMM sudah ditempatkan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi sebagai langkah kesiapsiagaan.
Pemantauan turut dilakukan menggunakan radar di Stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Tanjung Kemarung bagi mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di perairan sempadan negara.
Mohd Rosli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negara.
Terdahulu, media melaporkan sebuah bot yang membawa kira-kira 250 hingga 280 migran, termasuk pelarian Rohingya dan warga Bangladesh, dikhuatiri karam di Laut Andaman akibat cuaca buruk dan laut bergelora.


