TIGA Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masih hilang selepas sebuah bot pom-pom yang membawa 19 warga asing karam di perairan berhampiran Sungai Apong, Sabak Bernam, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, bot berkenaan dipercayai mengalami kebocoran sebelum karam di kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Apong.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kru bot yang memaklumkan kejadian berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) segera digerakkan.
Menurutnya, Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan Bot Penggalang 41 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Bot Penggalang 41 yang tiba di lokasi mendapati bot pom-pom itu sudah karam sepenuhnya sekitar jam 9 pagi.
“Seramai 16 PATI berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang dan usaha pencarian sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki iaitu dua warga Bangladesh dan lapan warga Indonesia selain enam wanita warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun.
Katanya, kesemua mangsa dipercayai diselamatkan Vesel Nelayan Tempatan (VNT) sebelum ketibaan aset Maritim Malaysia.
“Bagi menyelaras operasi, Maritim Malaysia membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Kelong Paradise sebagai pusat koordinasi operasi melibatkan pelbagai agensi.
“Operasi CARILAMAT yang memasuki hari ketiga hari ini bermula seawal jam 7 pagi membabitkan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meliputi radius pencarian seluas 236 batu nautika persegi,” ujarnya.
Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dan pemantauan di Zon Maritim Malaysia bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang mengancam keselamatan perairan negara.
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


