PERIKATAN Nasional (PN) mengesahkan telah menerima permohonan daripada beberapa parti politik termasuk Pejuang dan Berjasa, yang menyatakan minat untuk menyertai gabungan itu secara rasmi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain dua parti tersebut, terdapat juga beberapa parti lain yang menyatakan hasrat sama bagi memperkukuhkan blok pembangkang itu.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang menilai setiap permohonan dan telah menghantar nota maklum balas bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai latar belakang parti terbabit.
”Kita telah menghantar nota kepada parti-parti ini untuk mendapatkan maklumat tambahan seperti jumlah keahlian dan latar belakang mereka supaya kita lebih memahami serta boleh membuat pertimbangan sewajarnya.

”Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kita boleh terima permohonan mereka,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada wartawa ketika Majlis Rumah Terbuka Peringkat Negeri Terengganu yang dihadiri ribuan orang termasuk Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, meskipun permohonan rasmi telah diterima, keputusan akhir berhubung kelulusan penyertaan hanya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan senarai penuh parti-parti lain yang terlibat bagi menjaga keharmonian antara semua pihak.
”Saya tidak mahu menyebut nama parti secara spesifik buat masa ini kerana bimbang jika tidak diluluskan nanti, ada pihak yang terasa hati.
”Kita berharap semua anggota Majlis Tertinggi mempunyai fikiran terbuka dan berlapang dada untuk memperkukuhkan PN dengan penyertaan pelbagai parti yang ada dalam negara kita,” ujarnya.


