POLIS mengesahkan empat penjenayah bersenjata yang merompak emas bernilai RM9.7 juta di sebuah premis di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur semalam menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai milik kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, hasil siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek dipercayai milik kenderaan lain.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah merakam keterangan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asal untuk membantu siasatan lanjut.
“Setakat ini seramai 12 individu termasuk pengadu, pemilik kedai dan 10 pekerja dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Dalam kejadian semalam, sekumpulan penjenayah bersenjatakan pistol melarikan 21 dulang emas dianggarkan bernilai RM9.7 juta dalam rompakan sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan.
Suspek terdiri daripada empat lelaki bersenjatakan dua pistol itu turut melarikan selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi.
Chang Hook dalam pada itu berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian untuk tindakan lanjut bagi mengesan pergerakan suspek.
Beliau berkata, selain itu polis turut menyusun semula kronologi sebelum dan selepas kejadian dan menganalisis rakaman dari beberapa lokasi serta meneliti semua aspek termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam.
“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk elemen orang dalam. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.


