Dua penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah guna khidmat pos

DUA penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kota Samarahan, Kuching ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan pos.

Kegiatan itu terbongkar selepas dua serbuan berasingan dijalankan oleh polis yang membawa kepada penahanan dua pelajar lelaki, termasuk daripadanya seorang warga asing semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Barry William berkata, dalam operasi kira-kira jam 2.30 petang itu seorang pelajar tempatan berusia 27 tahun ditahan di sebuah pusat mel IPT itu selepas disyaki memiliki dadah.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan berisi ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja dengan anggaran berat keseluruhan 1,095.01 gram bernilai kira-kira RM3,285,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, seorang lagi pelajar warga Pakistan berusia 23 tahun ditahan di koridor pusat khidmat pelajar di kampus sama kira-kira sejam kemudian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu mengaku memiliki dadah berkenaan dan mendedahkan sudah terbabit dalam penagihan sejak 2015.

“Suspek mengaku mendapatkan bekalan melalui pembelian dalam talian menggunakan aplikasi komunikasi sulit sebelum bayaran dibuat secara deposit tunai ke akaun tertentu.

“Dia juga dipercayai bertindak sebagai orang tengah dengan mencari pembeli secara pukal serta menguruskan transaksi bekalan dadah yang dihantar melalui perkhidmatan pos,” katanya.

Barry berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek tempatan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala pelajar warga asing pula didapati positif benzodiazepine.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk bungkusan plastik, kotak pembungkusan, peranti vape serta sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam urusan transaksi dadah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img