‘’Ibu kamu kuatkan’’ – kata Jaslinda kepada anaknya

“IBUkamu kuatkan?” Itu yang diungkapkan Jaslinda Saludin, 49, sebaik sahaja bertemu anaknya selepas ditemui selamat semalam setelah 14 hari hilang di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah, Perak.

Anaknya, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, menerusi hantaran di Threads hari ini, memuat naik gambar memeluk ibunya ketika pertemuan pertama mereka di Hospital Tapah, semalam.

“Alhamdulillah syukur ya Allah. Allahuakbar, Allah Maha Besar. Tiada yang mustahil bagi kuasa Mu ya Allah.

“Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan ibu saya, terima kasih sangat Allah SWT angkat doa kita semua. Terima kasih yang tak putus doa, solat hajat, (bacakan) Yasin, bantu mana boleh, semuanya, terima kasih,” katanya.

Semalam, Jaslinda yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu ketika mendaki Gunung Batu Putih ditemui selamat kira-kira jam 5 petang.

Dhia Damia turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Orang Asli, polis, bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA), Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ibunya.

Dhia Damia berkata, ibunya masih menerima rawatan di hospital dan dijangka memerlukan beberapa hari lagi untuk pemulihan.

“Pagi itu (semalam), saya, ayah dan kakak sulung berhasrat untuk ke kaki gunung, untuk membuat solat hajat dan bacaan Yasin. Allah.. hanya Allah SWT sahaja tahu perasaan ketika itu, memang berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Petang itu, dengan kuasa Allah, Allah SWT kabulkan doa kami semua,” katanya.

Sementara itu, Jaslinda menemukan nota yang ditinggalkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk sebaik tiba di kawasan itu kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Jaslinda membawa nota itu dibawa keluar bersamanya sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba.

Menurutnya, nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) Hafis di Kem Air Busuk semasa membuat pencarian di kawasan berkenaan di mana fokus pencariaan bermula dari Pos Musoh ke Kem Air Busok pada 30 Mei lalu.

“Jaslinda pula hanya sampai ke kawasan berkenaan 5 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan nota itu, MGP Hafis menyampaikan pesan kepada Jaslinda iaitu ‘Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai mencari.”



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img