Demi pastikan rakyat tak terbeban, kerajaan tanggung subsidi minyak berbilion ringgit

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan terus menanggung perbelanjaan subsidi petrol dan diesel yang mencecah berbilion ringgit setiap bulan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak di pasaran global.

Katanya,  Malaysia masih menawarkan harga bahan api antara yang terendah di dunia, iaitu sekitar RM1.99 seliter bagi petrol RON95, walaupun kerajaan berdepan tekanan kewangan susulan peningkatan kos subsidi yang tinggi.

Beliau berkata,  jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan boleh mencecah sehingga RM7 bilion sebulan pada tempoh tertentu, bergantung kepada pergerakan harga minyak dunia.

“Kalau kita biarkan harga naik ikut pasaran, beban itu akan terus ditanggung rakyat. Sebab itu kerajaan ambil tanggungjawab untuk tampung subsidi walaupun kosnya sangat besar.

“Sekarang turun balik antara tiga hingga lima billion ringgit. Satu bulan tambahan, dari mana kita ambil? Dari penjimatan, dari langkah cermat, dan hentikan orang yang curi-curi, sakau. Ini yang kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakan Muda MADANI di Taman Keladi, Sungai Petani.

Beliau menjelaskan kerajaan perlu mencari keseimbangan antara membantu rakyat dan memastikan kedudukan kewangan negara tidak terjejas, termasuk melalui penjimatan serta pengurusan perbelanjaan yang lebih berhemah.

‘’ Sekiranya subsidi tidak dikawal, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan hutang negara yang akhirnya memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang,’’ katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa harga bahan api di beberapa negara jiran adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga demi kesejahteraan rakyat.

“Di negara lain harga lebih tinggi, tetapi kita masih mampu kekalkan harga rendah. Namun ia datang dengan kos besar yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan berkaitan subsidi bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan kemampuan fiskal negara serta keperluan menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img