KERAJAAN sedang meneliti cadangan untuk mengembalikan status bebas cukai di Langkawi bagi merancakkan semula ekonomi dan sektor pelancongan pulau peranginan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu wajar diberi perhatian memandangkan keadaan pelancongan di Langkawi ketika ini agak perlahan.
“Ya, itu kita teliti satu cadangan yang harus diberikan perhatian kerana kedudukan pelancongan di Langkawi itu malap sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk melihat secara menyeluruh langkah yang boleh diambil bagi membantu memulihkan daya tarikan Langkawi.
Katanya, peningkatan kos di pulau itu turut menjadi antara faktor yang menjejaskan kehadiran pelancong, termasuk dari dalam negara.
“Kos di Langkawi sudah agak tinggi, ia sendiri tidak dapat menarik pelancong dari dalam negeri sekalipun,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan tersebut, sambil memaklumkan perkara itu sebenarnya telah lama dibincangkan namun memerlukan penelitian lanjut berikutan pelbagai permintaan yang diterima.


