DUTA Besar Indonesia ke Malaysia Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo berkata laporan media dari republik itu yang mendakwa sebahagian Pulau Sebatik di Sabah kini milik negara itu sebagai tidak benar.
Raden Mohammad Iman menegaskan, kawasan 127.3 hektar itu sebenarnya masih berstatus ‘kawasan kelabu’ dengan perbincangan bagi menetapkan status sebenar pulau itu belum diputuskan.
“Saya mahu menegaskan (Pulau Sebatik) bukan di bawah kuasa Indonesia, ia masih ‘grey area’. Perbincangan mengenai statusnya masih berjalan di peringkat tinggi. Berita dari Indonesia tidak betul. Tolong jelaskan berita itu tidak betul,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat lebih sahih sama ada berita itu adalah laporan palsu atau individu terbabit silap menyatakan fakta berkenaan.
“Saya perlu periksa lagi berhubung sumbernya kerana banyak yang tidak jelas, namun apapun ia tidak benar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia, M Qodari, memaklumkan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, kini sah milik Indonesia.
Qodari dipetik berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dengan Malaysia.


