SEORANG warga emas maut di hadapan isterinya selepas terkena libasan senjata dalam kejadian samun di rumah mereka di Pekan Baru di Teluk Intan hari ini.
Kejadian berlaku jam 6.02 pagi ketika wanita berkenaan sedang membuat persiapan untuk upacara sembahyang di halaman rumah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa berusia 69 tahun meninggal dunia selepas parah terkena libasan senjata, dipercayai parang di kedua-dua tangan.
Katanya, siasatan awal mendapati tiga lelaki yang memakai topeng menceroboh kediaman dengan memanjat tembok hadapan ketika wanita itu leka melakukan upacara sembahyang.
“Suspek terus menyerbu masuk dan mengugut mangsa yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah supaya menyerahkan barang kemas. Si isteri kemudian menyedari kejadian dan diugut sama.
“Mangsa dicederakan sebelum suspek melarikan diri bersama sejumlah barang kemas dan wang tunai. Jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chua berkata, isteri mangsa tidak cedera dan pihaknya kini giat memburu suspek dipercayai berumur lingkungan 20 hingga 30-an.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-6222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


