BN kekalkan formula agih kerusi sedia ada hadapi pilihan raya

BARISAN Nasional (BN) akan mengekalkan formula agihan kerusi sedia ada pada pilihan raya akan datang, dengan beberapa penyesuaian bagi menghargai kesetiaan Friends of BN selama ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama politik yang terjalin dapat diterjemahkan melalui pengagihan kerusi yang adil dan seimbang.

Katanya, BN menghargai sokongan berterusan semua kepimpinan parti komponen yang mendukung perjuangan gabungan tersebut termasuk Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Selain Kimma, Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) juga diterima sebagai ‘Friends of BN’.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Kimma dan kumpulan Friends of BN sebelum ini telah diberikan peluang untuk bertanding dan pendekatan sama akan diteruskan.

“Formula itu akan digunakan, mungkin dengan penyesuaian berdasarkan penelitian Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir termasuk menambah kerusi yang sesuai kepada rakan gabungan,” katanya  selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kimma 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid mengingatkan parti-parti komponen BN menyatakan pendirian secara rasmi menyokong pindaan perlembagaan gabungan itu untuk membolehkan kemasukan parti baharu sebagai ahli teras.

Beliau menegaskan, kekangan utama ketika ini adalah Perlembagaan BN yang menetapkan sebarang kemasukan parti sebagai ahli teras mesti mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua parti komponen.

“Kita mempunyai kekangan, dan kekangannya adalah perlembagaan BN itu sendiri yang menetapkan mana-mana permohonan untuk menyertai BN sebagai parti teras mesti mendapat persetujuan 100% daripada parti-parti teras,” katanya.

Sehingga kini, katanya, Perlembagaan BN masih belum dapat dipinda kerana belum ada kesepakatan dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Beliau berkata, jika benar ada pihak yang tidak menghalang kemasukan Kimma yang kini berstatus ‘Friends of BN’, perkara itu perlu dizahirkan melalui keputusan rasmi dalam mesyuarat BN.

“Jika benar mereka tidak menghalang, saya mahu perkara itu dibuktikan dalam mesyuarat tertinggi BN akan datang melalui kenyataan rasmi untuk menerima dan meminda perlembagaan BN.

“Saya tidak mahu kenyataan media lain, ucapan lain, tetapi dalam mesyuarat cakap lain,” katanya dipercayai merujuk kenyataan seorang pemimpin MIC baru-baru ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img