
PADA 10 April lalu, negara kehilangan seorang tokoh penjawat awam yang terkenal iaitu Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berita kembalinya Allahyarham ke rahmatullah amat memeranjatkan dan menyentuh perasaan saya sekeluarga kerana kami baru sahaja menziarahi Allahyarham pada 3 April lalu di kediaman Allahyarham di Putrajaya.
Jasa dan sumbangan Allahyarham sebagai tokoh penjawat awam bukan sahaja dirasai secara peribadi oleh saya tetapi juga rakyat Malaysia yang mengenali Allahyarham terutama ketika Allahyarham memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Timbalan KSU Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).
Saya mengenali Allahyarham ketika Allahyarham menjadi TKSU MeCD yang kini dikenali KUSKOP. Apabila Allahyarham dilantik sebagai KSU MOA, saya dipelawa membantu MOA dalam pelbagai aktiviti pembangunan pertanian memandangkan salah satu kepakaran saya adalah berkaitan TVET pertanian dan industri makanan negara.

Peluang ini membolehkan saya mengenali Allahyarham lebih dekat dan Allahyarham meletakkan kepercayaan kepada saya sebagai pakar rujuk dan rakan strategik pelaksanaan dasar MOA walaupun saya tidak menerima apa-apa bayaran daripada kementerian itu. Semuanya saya lakukan secara sukarela.
Selepas Allahyarham bersara daripada SPR, kami tidak pernah bertemu tetapi Allahyarham tetap mengikuti perkembangan saya, khususnya apabila melihat saya di kaca TV.
Allahyarham akan menghantar mesej kata-kata semangat dan berbangga dengan sikap konsisten saya terutama dalam membangunkan usahawan luar bandar serta sekuriti makanan negara.
Sebahagiannya adalah hasil kerjasama antara MOA dengan saya suatu masa dahulu seperti program NBOS My Kampung, My Future (MKMF), Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak dan TVET pertanian yang masih relevan hingga kini.

Entah mengapa baru-baru ini, menjelang pemergian Allahyarham yang saya anggap seperti bapa sendiri, Allah SWT seolah-olah merapatkan kembali hubungan kami.
Saya pernah makan malam dengan Allahyarham pada Disember 2024 di Putrajaya selepas Allahyarham tidak lagi berkhidmat dengan SPR.
Dalam pertemuan itu, saya menghadiahkan buku Pulau Tiga Khazanah Melayu Perak kepada Allahyarham. Pemberian itu menggembirakan Allahyarham kerana saya berjaya menyiapkan buku itu bersama Universiti Malaya. Ia memandangkan Kampung Pulau Tiga dibangunkan bersama Allahyarham melalui program MKMF pada tahun 2013.
Ditakdirkan Allah, beberapa minggu sebelum Allahyarham meninggal dunia, saya mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkaitan statistik pertanian negara.
Ketika saya menunjukkan kepada beliau sampel buku ‘Randau Demi Negara’ (kompilasi 100 artikel saya dalam beberapa portal berita), Mohd Uzir tertarik bab yang menceritakan pengalaman saya bersama Allahyarham Hashim menjayakan MKMF. Beliau terus menghantar gambar dalam bab tersebut kepada Allahyarham yang juga jiran dan kenalan rapatnya.
Selepas itu Allahyarham menghantar mesej kepada saya untuk bertemu dan menyatakan hasrat mendapatkan senaskah buku tersebut. Saya memaklumkan bahawa buku itu masih dalam proses suntingan. Saya juga memberitahu Allahyarham, saya berhasrat memuatkan ulasan pendek Allahyarham dalam buku itu. Allahyarham bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Pertemuan terakhir saya di kediaman Allahyarham mencetuskan pelbagai kenangan, mengembalikan nostalgia dan sarat pesanan kerana Allahyarham bukanlah calang-calang tokoh penjawat awam.
Seingat saya, ketika di MeCD, Allahyarham bersama pasukan termasuk bos Allahyarham bekerja keras membangunkan golongan usahawan khususnya dalam kalangan bumiputera.
Zaman itulah lahirnya usahawan kecil sederhana (SME) sekaligus membolehkan kami yang berada dalam kluster pendidikan dan latihan TVET mendapat manfaat besar untuk mencapai kejayaan.
Ia disebabkan peranan MeCD ketika itu sangat besar dan memberikan komitmen penuh bagi menjayakan dasar yang telah ditetapkan.
Saya masih ingat bagi melaksanakan tanggungjawab itu Allahyarham dan KSU MeCD Datuk Musa Mohamed akan mengingatkan pegawai-pegawai kementerian itu memikirkan bagaimana mahu melaksanakan sesuatu agenda yang sudah dirancang tanpa mengenepikan proses dan prosedur kerajaan, bukannya memberi alasan sehingga ia tidak dilaksanakan.
Ketika menjadi KSU MOA, Allahyarham Mohd Hashim mencadangkan supaya saya dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) yang membolehkan saya membantu menyelaraskan kerjasama latihan awam dan swasta serta meningkatkan enrolmen kemasukan belia dalam program-program NATC hingga empat kali ganda.
Berikutan prestasi saya, MOA sentiasa mempelawa saya membantu pelbagai program kementerian itu termasuklah menjadikan kampung saya, Kampung Pulau Tiga sebagai lokasi pelancaran MKMF peringkat kebangsaan pada 25 April 2013.
Begitu juga program keusahawanan seperti MyAgrosis di Sabah bersama Agrobank, ia adalah hasil kerjasama saya dengan MOA.
Apa pun secara peribadi, didikan, nasihat dan panduan Allahyarham Mohd Hashim mengenai pertanian, TVET dan pembangunan luar bandar sangat berkesan kepada saya.
Dalam pertemuan terakhir itu, saya sempat menghadiahkan sekali lagi produk makanan MKMF selain buku ‘Randau Demi Negara’. Walaupun ia hanya mock-up tetapi Allahyarham telah membaca sampel buku tersebut yang turut mengabadikan jasa dan sumbangan Allahyarham.
Semoga buku berkenaan menjadi rujukan kepada generasi baru terutama penjawat awam mengenai polisi awam, pelaksanaan, kejayaan, cabaran dan penyelesaian masa depan.
Bagi saya, Allahyarham Mohd Hashim adalah antara tokoh yang menjadi bukti jasa perkhidmatan awam kepada rakyat berlandaskan keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan.
Lambaian terakhir Allahyarham Mohd Hashim sebelum kami meninggalkan kediaman Allahyarham bagaikan ucapan selamat tinggal seorang bapa kepada anak-anaknya. Namun nasihat, nostalgia dan kenangan bersama Allahyarham akan kekal dalam ingatan sehingga akhir hayat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tan Sri Mohd Hashim Abdullah. AL-FATIHAH.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.


