PENDAKWAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) baru-baru ini, dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di kediamannya.
Perkara itu dikongsi abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias menerusi hantaran di Facebook, semalam.
“Apa yang boleh saya nyatakan di sini bahawa adik saya telah dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di rumahnya.
“Perkembangan positif ini amat mengembirakan kami ahli keluarga dan seluruh peminatnya. Kami berharap agar beliau beransur pulih,” tulisnya.
Bagaimanapun, Najmuddin memaklumkan bahawa adiknya itu masih memerlukan rawatan berterusan berikutan ada komplikasi kesihatan yang lain.
“Pihak hospital memberitahu rawatan susulan tetap akan dilakukan kepada beliau kerana ada implikasi jantung yang lain,” tulisnya lagi.
Najmuddin turut meminta orang ramai agar tidak menziarahi Ustaz Kazim buat masa ini bagi membolehkan proses pemulihan lancar.
“Buat masa sekarang hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan menziarahi,” kongsinya.
Sementara itu, Najmuddin turut menzahirkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada barisan doktor serta kakitangan Hospital Pakar KPJ Ipoh, selain seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan adiknya itu.
Ustaz Kazim dilapor dimasukkan ke ICU di sebuah hospital untuk menerima rawatan memasang belon pada saluran darah, beberapa hari lalu.
Perkara itu dikongsi di Facebook beliau dengan hantaran klip video yang memohon doa daripada orang ramai.


