KIRA-kira 200 buah rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 1.32 pagi dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.
“Bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera.
“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 35 anggota bomba termasuk daripada BBP Sandakan dan Kinabatangan bergegas ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengisytiharkan bencana kebakaran susulan kejadian itu.
Beliau berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada jam 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
“Pemeriksaan di kampung itu mendapati kediaman penduduk terjejas tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, angka tidak rasmi menunjukkan mereka yang didaftarkan di PPS itu setakat ini ialah 445 orang terdiri daripada 89 keluarga.


