AHLI dan kepemimpinan PKR di semua peringkat diminta agar tidak sesekali leka atau membiarkan diri dibuai dengan kedudukan sebagai pemerintah sehingga melupakan asal-usul perjuangan parti.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun PKR telah menerajui pentadbiran Selangor sejak 2008, setiap pemimpin bermula dari peringkat akar umbi, Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang sehinggalah ke peringkat tertinggi perlu mengekalkan kestabilan dan kesatuan hati.
Menurut beliau, setiap gerak-geri dan perilaku pemimpin parti kini sentiasa diperhatikan, dinilai dan diamati oleh rakyat.
“Oleh itu, pentingnya untuk setiap ahli menjadi pasukan yang responsif dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Jangan sesekali leka ataupun dibuai berada dalam kedudukan sebagai pemerintah. Kita mesti terus menggilap idealisme dan jangan benarkan bibit-bibit rasuah merasuki serta merosakkan semangat reformasi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang (MATC) Gombak 2026 di Dewan Sri Siantan Majlis Pebandaran Selayang hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan Cabang PKR Gombak sebagai sebuah cabang yang sangat utuh dan kuat dan berharap Gombak terus menjadi ‘beacon’ atau penyuluh kepada usaha membangunkan Selangor dan memperkukuhkan benteng parti daripada anasir yang cuba merosakkan keutuhan Keadilan.
“Saya berpesan seikhlas hati, kalau kita tidak menggunakan platform seperti ini untuk memberi sedikit peringatan, maka saya rasa culas dalam melaksanakan tugas. Kita semua mewakili pemimpin, bukan hanya Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), tetapi juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Dalam ucapan sama, Fahmi turut menyentuh mengenai keberkesanan tadbir urus Kerajaan MADANI dalam mendepani krisis ekonomi global.
Mengulas mengenai desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Fahmi memaklumkan beliau akan segera ke selatan tanah air bagi memulakan gerak kerja dan menyusun jentera.


