PERGADUHAN di sebuah restoran nasi kandar di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang di Kuala Langat pada Rabu lalu dipercayai berpunca selepas seorang individu ditegur kerana merokok.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan kejadian berkenaan dibuat seorang lelaki tempatan kira-kira jam 2 pagi pada Rabu lalu.
“Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara dua pihak kerana salah seorang daripada mereka ditegur merokok di kawasan tersebut.
“Kejadian kemudian bertukar menjadi pergaduhan dan saling memukul antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Akmalrizal, kes ini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh-gempar.
Katanya, polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222.
Sebelum ini, video rakaman kamera litar tertutup berdurasi 47 saat memaparkan beberapa individu bergaduh di sebuah restoran tular dalam media sosial.
Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian cuba dileraikan oleh beberapa individu lain yang berada di restoran terbabit.


