SEORANG peguam merupakan antara tiga pemandu yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Kerinchi Link, Lebuhraya Sprint di Kuala Lumpur, awal pagi ini.
Peguam berusia lewat 20-an itu pada mulanya mendakwa dia tidak mengambil minuman keras namun hasil ujian pernafasan yang dijalankan mendapati kandungan alkohol dalam badannya jauh melebihi jumlah maksimum dibenarkan.
Lelaki tempatan itu mendakwa tidak menyangka kandungan alkohol masih tinggi ketika pemeriksaan kerana mengambil minuman keras berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam sebelum ditahan bersama teman wanitanya.
“Saya tak minum banyak pun, saya minum pukul 6 petang tadi (semalam), kamu tengok saya tak mabuk sangat kan. Tolong lah encik kalau boleh tak perlu lokap.
“Saya faham encik jalankan tugas, tetapi kalau boleh tolong sikit. Saya tak naik e-hailing sebab minum sudah lama ingat sudah okay,” katanya kepada anggota trafik bertugas ketika ditahan dalam operasi itu.
Difahamkan peguam berkenaan dan seorang lagi pemandu mabuk berusia lingkungan 40-an yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis tidak menghalang mana-mana individu mengambil minuman keras.
Bagaimanapun katanya, perbuatan itu perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku terutama ketika isu berhubung pemandu mabuk sedang hangat diperkatakan ketika ini.
“Banyak kes mabuk sejak kebelakangan ini yang melibatkan kemalangan dan kematian. Jadi kita beri amaran jangan lah memandu dalam keadaan mabuk, kita pun dah keluarkan notis advokasi.
“Banyak yang kita serah pada pemandu-pemandu, dan serah di pusat-pusat hiburan. Kalau nak, boleh mabuk, tak ada masalah, tetapi gunalah perkhidmatan pemandu orang lain.
“Guna e-hailing ataupun tumpang rakan. Kalau dia bawa sendiri (memandu), masalah nanti. Kalau masalah pada diri dia sahaja tidak apa, sebaliknya masalah pada orang lain juga,” katanya pada pemberita dalam operasi itu.


