KEBAKARAN di penempatan atas air Kampung Bahagia, Sandakan menyebabkan sekurang-kurangnya 8,000 penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kejadian awal pagi, hari ini.
Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing berkata, hampir 90 peratus rumah di perkampungan itu terbakar, kejadian kali ketiga direkodkan selepas kebakaran pada 1994 dan 2001.

Beliau berkata, kebakaran kali ini paling besar menyebabkan hampir seluruh penduduk hilang kediaman.
“Syukur tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa. Kami berharap ada bantuan daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran itu hanya dapat dikawal pada jam 8 pagi tadi.
Katanya, pihaknya berdepan cabaran antaranya laluan sempit ke lokasi kejadian serta kenderaan yang menghalang pergerakan jentera penyelamat.
“Struktur rumah dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat. Ia ditambah angin kuat yang mempercepatkan lagi kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi diaktifkan sebagai PPS untuk menempatkan mangsa kebakaran.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, PPS itu diaktifkan susulan pemeriksaan di kampung itu mendapati kediaman yang terjejas tidak selamat untuk didiami buat masa ini.


