SEORANG operator kilang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan Selandar–Batang Melaka berhampiran Kolej Komuniti Selandar, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 pagi itu, mangsa, Muhammad Azraf Azhar, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah tempat kerjanya di Ayer Keroh menghala ke Batang Melaka selepas habis kerja.
“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan mangsa tercampak dan meninggal dunia.
“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


