SEORANG pelajar perempuan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya ketika mandi di Sungai Lata Ulu Kasar, Kampung Kasar, di Setiu petang tadi.
Mangsa, Suraya Hassan, 22, pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan NanoFizik berasal dari Batu Pahat, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Sri Langkap.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.48 petang melalui talian MERS 999.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Tong bersama unit kereta peronda (MPV) segera ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakan yang juga pelajar UMT berada di kawasan tersebut untuk berkelah dan mandi manda.
“Ketika kejadian, salah seorang rakan mangsa dipercayai hampir lemas sebelum mangsa bersama seorang lagi rakannya bertindak untuk memberikan bantuan,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Menurut beliau, tindakan itu bagaimanapun mengakibatkan mangsa dihanyutkan arus dan lemas, manakala rakannya, Nur Najwa Farina Mohamed, 25, yang hampir lemas berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, Mohd Zain menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air terutamanya di kawasan rekreasi sungai yang berarus deras.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mandi di kawasan yang tidak dipantau atau berbahaya,” katanya.


