SEORANG bapa dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan tangan dua anak kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam.
Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, L Gunasekaran, 46, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mencederakan anak lelaki berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 16 tahun pada jam 5 petang, 6 April lalu di Rumah Pangsa Lobak.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 362A Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa datang kepada bapa saudara mereka dalam keadaan tangan luka dan memaklumkan kecederaan itu dilakukan oleh bapa mereka.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila tertuduh mengamuk dalam keadaan mabuk selepas anak-anaknya tidak mengemas rumah.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh khususnya dan kepada masyarakat umumnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM40 sehari manakala isteri bekerja di Johor.
Dalam rayuannya, tertuduh berkata, tangan kanannya lumpuh akibat kemalangan serta mengalami sawan yang mana penyakit itu menyerangnya ketika berada di penjara.
Tambahnya, pada hari kejadian, keadaan rumah bersepah namun anaknya tidak mahu mengemas sebelum dia cuba menakut-nakutkan anaknya menggunakan pisau sebelum berlalu kemalangan.
Bagi Seksyen 362A, tertuduh dihukum penjara enam bulan dan mahakamh menetapkan tertuduh dipenjara tiga bulan mengikut Seksyen 324 yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 April.


