Baling molotov cocktail, lelaki dipenjara 66 bulan, denda RM10,000

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 66 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Segamat hari ini selepas mengaku bersalah membaling molotov cocktail serta mengugut seorang wanita, dipercayai atas arahan ceti haram.

Tertuduh, Mohamed Hanaffi Ahmad, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Rahimah Abd Majid.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun tertuduh dilaporkan tidak membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa membaling molotov cocktail sehingga menyebabkan kerosakan pada sebuah rumah milik wanita berusia 35 tahun di Taman Mewah, Buloh Kasap kira-kira jam 8 pagi pada 11 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sembilan tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menemui kesan kebakaran di rumahnya serta sekeping nota mengandungi ugutan sebelum membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan itu, polis menahan tertuduh di Bandar Putra, Kulai kira-kira jam 6.10 petang keesokan harinya.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan terpaksa melakukan perbuatan itu kerana mempunyai hutang dan masalah kewangan serta mendakwa ia adalah kali pertama melakukan kesalahan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img