SEORANG pembantu kedai didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mengintai seorang wanita di tandas LRT Sentul.
Tertuduh, Abdul Samad Rosman, 23 dijatuhkan hukuman oleh Majistret Aina Azahra Arifin selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 44 tahun di tandas wanita LRT Sentul kira-kira jam 8 pagi pada 16 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala peguam CH Low dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu denda minimum dengan alasan tertuduh menanggung ibu bapa yang uzur.
“OKT (orang kena tuduh) kesal dan insaf atas perbuatan itu dan pengakuan salah awalnya ini menjimatkan masa mahkamah.
“Dia juga memohon maaf kepada mahkamah dan keluarga mangsa serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya dalam prosiding itu.


