KEMENTERIAN Komunikasi melancarkan Kempen Internet Selamat dengan pendekatan rakan sebaya bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan belia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, kempen yang berlangsung di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Johor, itu merupakan usaha berterusan kementerian berkenaan untuk memperkasa belia menghadapi ancaman dunia digital.
“Seramai 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Pagoh menyertai program ini termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN),” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, peserta akan berperanan sebagai agen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya dengan memberi fokus kepada ancaman seperti penipuan digital, buli siber, penyebaran maklumat palsu dan risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.
Kempen itu turut menampilkan pendekatan interaktif termasuk sketsa ‘Ops Kantoikan Scammer: Aku Bukan Mangsa Kau!’ bagi memberi pendedahan mengenai taktik penipuan dan langkah pencegahan.
“Pendekatan rakan sebaya ini dapat dilihat lebih dekat dengan kumpulan sasaran dan relevan dalam membentuk kesedaran, sekali gus meningkatkan impak penyampaian kepada golongan belia,” katanya.
Menurut MCMC, sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di IPT seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.


