SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan semalam melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026.
MCMC dalam kenyataan berkata, ia sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam, membanteras aktiviti vandalisme dan kecurian terhadap kemudahan awam serta infrastruktur kritikal, khususnya melibatkan kemudahan komunikasi dan utiliti.
Majlis pelancaran kempen tersebut dilakukan Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Teo Kok Seong yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan, penyedia utiliti, pemain industri telekomunikasi serta komuniti setempat.
‘’Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan aktiviti jenayah terhadap kesejahteraan mereka serta kelangsungan perkhidmatan penting. Kerosakan kepada kemudahan seperti menara komunikasi dan rangkaian gentian optik boleh menyebabkan gangguan serius kepada perkhidmatan Internet dan komunikasi yang kini menjadi keperluan asas masyarakat, ‘’ kata kenyataan tersebut.
Menurut MCMC, Kempen Pencegahan Vandalisme merupakan hasil kerjasama strategik antara MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Telekom Malaysia (TM) serta pelbagai agensi dan rakan industri lain, dengan sokongan komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
‘’Keperluan turut diperkukuh oleh insiden di sekitar Kuala Pilah melibatkan pencerobohan dan kerosakan terhadap kemudahan komunikasi, yang menjejaskan 14 menara dan memberi kesan kepada lebih 1,600 pengguna.
‘’Insiden tersebut membuktikan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan harta awam, malah turut memberi impak langsung kepada kehidupan harian rakyat,’’ kata MCMC.
Suruhanjaya itu menjelaskan, sebagai sebahagian daripada pengisian program, kempen ini turut menampilkan sesi pameran dan ceramah kesedaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan melindungi infrastruktur awam serta peranan komuniti dalam membantu usaha pencegahan vandalisme dan kecurian.
‘’MCMC dan Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk terus memperkukuh kerjasama ini melalui pendekatan bersepadu melibatkan pendidikan, kesedaran awam dan tindakan pencegahan, demi memastikan keselamatan infrastruktur awam sentiasa terpelihara serta perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan secara berterusan, stabil dan berkualiti,’’ kata MCMC.


