KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti kajian tular di media sosial berhubung penglibatan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kegiatan ‘sugar baby’.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya belum mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah mahasiswa terlibat kegiatan berkenaan.
Katanya, KPT kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu, termasuk jumlah mahasiswa yang didakwa terlibat.
“Kajian memang dibuat untuk kes seperti itu dan sering kali kita dengar mengenainya dalam media dan sebagainya. Cuma Yang Berhormat (Datuk Mumtaz Md Nawi) bertanya dari segi bilangannya dan berapa ramai yang terbabit.
“Jadi, perkara itu mungkin saya akan sediakan nanti. Kalau ada (maklumat) kita akan dapatkan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan jumlah penglibatan mahasiswa setiap IPT dalam kegiatan pelacuran ‘sugar baby’.
Zambry berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan meneliti kesahihan maklumat yang dikemukakan menerusi kajian terbabit.
Beliau tidak menolak kemungkinan angka dilaporkan dalam kajian berkenaan hanya berdasarkan anggaran dan tidak semestinya mencerminkan jumlah sebenar mahasiswa terlibat.
“Kita akan dapatkan jumlah sebenar, cuma kalau bergantung kepada kajian, apa yang kita hendak buat dan dalam bentuk bagaimana definisinya. Ataupun (ia) sekadar jangkaan, itu pun kita perlu lihat dan akan dapatkan,” katanya.





