UMNO telah menerima 3,716 pendaftaran ahli-ahli baharu tidak sampai 24 jam selepas sistem pendaftaran secara atas talian dibuka semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebooknya.
“Balik dari masjid pagi ini, saya menyemak sistem ‘dashboard’ keahlian UMNO, terus saya ambil masa untuk perhalusi dan luluskan setiap permohonan.
“Letih juga tetapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tidak sampai 24 jam sistem pendaftaran baharu atas talian dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya dalam kalangan anak muda mendaftar.
“Terima kasih semua kerana sudi bersama dalam perjuangan suci ini,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa UMNO telah meluluskan pendaftaran 1,908 ahli baharu yang majoritinya dimohon dari sayap Pemuda.
“Tahniah dan hebat! 1,908 ahli baharu UMNO telah saya luluskan setakat pukul 6.00 petang, setelah lapan jam Pendaftaran Keahlian Secara Atas Talian dibuka pada kali pertama. Keahlian Pemuda UMNO yang paling tinggi iaitu seramai 1,215 orang. Syabas, Pemuda!” katanya lagi.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat MKT telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian.
Dr Asyraf berkata, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.


