Pasangan lakukan aksi tidak senonoh di jirat diketepikan hukuman penjara 12 bulan

PASANGAN yang dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina di Pulau Pinang bulan lalu, dibebaskan hari ini selepas Mahkamah Tinggi Georgetown mengurangkan hukuman mereka.

Hakim Rofiah Mohamad mengekalkan sabitan bersalah terhadap M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, tetapi memerintahkan hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan 23 Mac lalu hingga hari ini, sekali gus mengurangkan hukuman penjara kepada 28 hari.

“Sabitan dikekalkan…(tetapi) hukuman penjara 12 bulan digantikan dengan hukuman pemenjaraan dari tarikh tangkapan sehingga hari ini,” katanya, lapor NST.

Pasangan itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina di Batu Gantong pada 22 Mac lalu, di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Peguam Naran Singh memohon semakan semula hukuman itu atas alasan ia berlebihan.

Timbalan Pendakwa Raya Muna Jaafar berkata, pihak pendakwaan menerima surat representasi pembelaan yang mencadangkan sabitan dikekalkan, tetapi hukuman dikurangkan.

Naran seterusnya berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan itu.

“Saya sangat gembira dengan semakan ini. Hukuman telah dikurangkan daripada 12 bulan kepada 28 hari, iaitu tempoh minimum.

“Kami tidak mencabar sabitan itu. Ia kekal, tetapi hukuman telah diketepikan kerana ia berlebihan untuk kes ini.”

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img