Mahkamah naikkan hukuman pemandu ‘lawan arus’ penjara tiga hari kepada tiga bulan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menaikkan hukuman penjara daripada tiga hari kepada tiga bulan terhadap seorang pemandu e-hailing yang sebelum ini didapati bersalah memandu kenderaan melawan arus sehingga tular dalam media sosial.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan hukuman tersebut selepas membenarkan semakan hukuman terhadap Wong Kok Kong, 32.

Mahkamah juga turut mengekalkan hukuman denda RM6,000 serta pembatalan lesen memandu selama lima tahun yang diputuskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 6 April lalu.

Semasa prosiding, pendakwaan selaku pemohon yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail berkata, hukuman penjara tiga hari yang dikenakan sebelum ini terlalu ringan.

Beliau berhujah, pemenjaraan itu juga tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh selaku responden.

“Kesalahan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Dia sedar akan kesalahan yang dilakukan kerana tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol,” katanya.

Bagaimanapun, peguam K Gejalaxmi yang mewakili responden, merayu mahkamah mengekalkan hukuman asal kerana sudah memadai dan bersifat adil.

Beliau berkata, hukuman lebih panjang akan menjejaskan kehidupannya kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga serta perlu menyara bapa yang sakit kanser paru-paru.

Katanya, Kok Kong telah menjalani hukuman penjara tiga hari malah membayar denda tersebut.

“Tiada sesiapa yang cedera atau harta benda tidak rosak akibat perbuatan anak guam yang ketika kejadian dalam perjalanan mengambil penumpang berhampiran sebuah pusat beli-belah.

“Ketika itu, dia panik, mahu keluar secepat mungkin dan bergantung kepada aplikasi navigasi semata-mata,” katanya.

Peguam berhujah, Kok Kong menyedari telah tersilap jalan lalu cuba membuat pusingan U.

Pada 6 April lalu, Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kok Kong didakwa memandu Proton Saga putih secara melulu dan berbahaya dengan melawan arus di Jalan Klang Lama, jam 9.44 pagi pada 5 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img