MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan sepasang kekasih untuk membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 173 kilogram empat tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Adam Tan Seng Tek, 34, dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 33, pada akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati ada keterangan mengenai milikan dan pengetahuan secara langsung serta pengedaran (dadah) oleh kedua-dua tertuduh,” katanya.
Beliau kemudian menetapkan 5 dan 6 Mei depan untuk kedua-dua tertuduh membela diri dengan memberikan keterangan secara bersumpah di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 172,741.10 gram di sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam 24 Februari 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan yang tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, manakala pasangan terbabit diwakili peguam Kee Wei Lon, Ee Gen You dan Siti Summaiyah Ahmad Jaafar.
Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula 13 Oktober tahun lalu.


