Jangan ulangi kesilapan bangunkan teknologi tanpa kerangka tadbir urus – Sultan Nazrin Shah

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah tidak mahu kesilapan membangunkan teknologi tanpa kerangka tadbir urus yang jelas berulang lagi, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu yang semakin pesat berkembang.

Baginda bertitah, sejarah sudah membuktikan dunia sering mengulangi kesilapan sama apabila sesuatu inovasi dibangunkan terlebih dahulu sebelum peraturan dan garis panduan diwujudkan.

“Dalam era kita sendiri, kita berulang kali belajar, kemudian seolah-olah melupakan pengajaran paling sukar iaitu kita cenderung membina dahulu dan mentadbir kemudian.

“Bom atom diletupkan sebelum dunia mempunyai sebarang kerangka untuk mengawalnya.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan itu dengan AI, kejuruteraan genetik atau teknologi lain yang sedang berkembang pada abad ini. Semua ini menuntut tadbir urus lebih awal, bukan selepas ia berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama sebelum merasmikan Putrajaya Forum sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Sultan Nazrin bertitah, kemunculan teknologi seperti AI dan pengkomputeran kuantum walaupun mampu meningkatkan aspek keselamatan, turut membawa risiko besar sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Menurut baginda, penggunaan AI dalam konteks ketenteraan berpotensi mencetuskan konflik secara tidak sengaja, terutama apabila manusia terlalu bergantung kepada sistem automasi.

“Melalui kecenderungan automasi, manusia mungkin terlalu mempercayai mesin sehingga membenarkannya membuat keputusan hidup dan mati yang melanggar prinsip moral dan undang-undang.

“Bayangkan implikasinya, serangan siber terhadap sistem kewangan serantau boleh mengganggu ekonomi merentas sempadan dalam beberapa minit, manakala kebocoran data sensitif boleh menjejaskan kedaulatan negara tanpa satu pun tembakan dilepaskan.

“Justeru, alat yang menjanjikan kemajuan juga membawa benih ketidakstabilan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menegaskan kepelbagaian luar biasa Asia Tenggara dari segi bahasa, agama, budaya dan sistem pemerintahan menjadikannya terdedah kepada risiko jika teknologi AI dibangunkan berasaskan andaian luar.

“Algoritma yang tidak memahami kita dengan tepat tidak akan memberi manfaat, malah boleh memudaratkan.

“Antara 2020 hingga 2024 sahaja, rantau ini sudah menghasilkan 35 model bahasa besar (LLM) dengan aplikasi khusus Asia Tenggara.

“Dengan 700 juta penduduk yang bertutur lebih seribu bahasa, teknologi terjemahan AI berpotensi menyatukan rantau ini lebih daripada usaha diplomasi selama beberapa dekad,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan rantau ini tidak ketandusan bakat dalam membangunkan teknologi berkenaan, sebaliknya memerlukan lebih banyak peluang serta pengiktirafan bagi mengelakkan penghijrahan tenaga mahir ke luar negara.

“Apa yang diperlukan adalah peluang serta penghargaan agar bakat ini tidak terus berhijrah,” titah baginda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img