Kenapa tak bangkitkan ketika jadi menteri? – Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia bidas Rafizi,Nik Nazmi

SETIAUSAHA Politik Menteri Sumber Manusia , Aizuddin Abd Gaffal hari ini mempersoalkan tindakan  Ahli Parlimen Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengecam lanjut kontrak Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Tegas beliau, lanjutan kontrak sehingga 2031 itu telah diluluskan pada 24 Jun 2024 di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, ketika kedua-dua Ahli Parlimen itu masih menjadi anggota Kabinet.

 “Pada ketika itu, mereka yang kini lantang mengkritik masih anggota Kabinet yang mempunyai kuasa, akses kepada maklumat serta berkongsi tanggungjawab dalam proses membuat keputusan.

 “Jika kelemahan yang mereka dakwa sekarang benar-benar serius, mengapa perkara ini tidak dibangkitkan ketika mereka menjadi menteri,’’ katanya dalam kenyataan.

Berikut petikan kenyataan  beliau:

  Saya dan majoriti rakyat Malaysia sentiasa menghormati peranan semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen. Namun, semak dan imbang yang berintegriti mesti berteraskan fakta, bukan naratif yang dipilih secara selektif mengikut kepentingan politik peribadi.

 Sebagai Mantan Ahli Jemaah Menteri, Ahli Parlimen Pandan (Rafizi) dan Ahli Parlimen Setiawangsa (Nik Nazmi) hendaklah berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) yang menjadi tonggak Kerajaan dan terpakai dalam semua keputusan dan tindakan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen.

Hakikatnya jelas, pelanjutan kontrak FWCMS sehingga tahun 2031 telah dibuat pada 24 Jun 2024, di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, dan diluluskan ketika kedua-dua Ahli Parlimen selaku Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia berada di dalam Kabinet sebagai Anggota Jemaah Menteri.

Pada ketika itu, kedua-dua individu yang kini lantang bersuara masih merupakan anggota Kabinet yang mempunyai kuasa, akses kepada maklumat, dan tanggungjawab kolektif dalam proses membuat keputusan tersebut.

Jika benar terdapat kelemahan yang begitu serius seperti yang didakwa hari ini, mengapa suara itu tidak kedengaran ketika mereka berada di meja membuat keputusan? Mengapa hanya sekarang barulah pelbagai isu diketengahkan? Ini bukan soal perbezaan pandangan, ini soal konsistensi dan kejujuran dalam berpolitik. 

Malah, selepas kelulusan tersebut dibuat, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut menyinggung beberapa perkara berkenaan pelaksanaan FWCMS serta potensi pertindihan dengan sistem baharu National Integrated Immigration System (NIISe). 

Namun sekali lagi, tiada bantahan daripada mereka ketika itu. Sikap berdiam diri ketika berkuasa, kemudian lantang apabila sudah tidak lagi memikul tanggungjawab, hanya mengundang persoalan terhadap keikhlasan dan hipokrasi politik.

Ini adalah amat mengelirukan, bagaimana mungkin sistem yang diluluskan ketika mereka berada dalam Kabinet kini menjadi sasaran kritikan mereka sendiri? Apakah yang berubah? Ini adalah satu bentuk ‘politiking’ tahap baharu yang belum pernah disaksikan atau didengari sebelum ini.

Cubaan membina persepsi seolah-olah isu ini baru sahaja timbul pada waktu ini adalah satu bentuk percubaan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang amat tidak bertanggungjawab. 

Kerajaan melalui KESUMA kekal komited untuk melaksanakan agenda jangka panjang seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat.

Namun dalam realiti semasa, kita tidak boleh menutup mata terhadap keadaan di lapangan. Adakah kita mahu mengabaikan nasib pekerja asing yang terperangkap dalam beban hutang pencarian kerja (debt bondage)?

 Adakah kita mahu menolak suara lebih satu juta ahli daripada wakil pelbagai persatuan perniagaan dan industri seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Malaysian Employers Federation (MEF) yang menuntut sistem pengambilan yang lebih telus, adil dan kos efektif ?

 Adakah sektor perladangan dan perkilangan boleh diisi serta-merta oleh tenaga kerja tempatan dalam tempoh singkat? Atau kita mahu terus mengikut suara segelintir 7 Ahli Parlimen, termasuk dua bekas menteri yang kini lantang bersuara selepas tidak lagi berada dalam kedudukan membuat keputusan?

 Halatuju dan polisi yang bersifat ‘tone deaf’ dan ‘ideally disconnected’ perlu dihentikan bagi menyantuni hasrat dan permintaan industri. Realitinya, dasar negara tidak boleh digerakkan oleh emosi dan retorik semata-mata. Ia mesti berpaksikan fakta, keperluan ekonomi semasa, dan kesejahteraan semua pihak termasuk pekerja, majikan dan negara. 

Saya juga berasa amat hairan bagaimana Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad boleh mempertikaikan sesuatu yang jelas mereka sendiri tidak fahami. Kenyataan mereka bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah memalukan 7 Ahli Parlimen lain yang bersama mereka, apabila dilihat gagal membezakan perkara asas terkait sistem pengambilan pekerja asing, FWCMS dan NIISe, yang sememangnya berbeza fungsi tersendiri dan peranan di setiap peringkat pelaksanaan.

Namun, perlu ditegaskan, cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu pada masa ini masih dalam peringkat penilaian. Tiada keputusan muktamad, tiada pelantikan, dan tiada komitmen dibuat kepada mana-mana pihak. Segala pertimbangan sedang dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira kepentingan Negara, ketelusan, serta keberkesanan jangka panjang.

Permainan membina persepsi yang hodoh terhadap Kerajaan dan memomokkan rakyat dengan cerita yang diolah mengikut kepentingan diri perlu dihentikan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img