PM terima kunjungan pengerusi syarikat gas Oman, bincang peluang pelaburan sektor tenaga

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu dalam sektor tenaga.

Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman sosial Facebook memaklumkan, pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha menjamin kestabilan bekalan tenaga negara melalui kerjasama dengan rakan strategik yang diyakini seperti Oman.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu, Kerajaan MADANI bertindak lebih awal dan berwaspada dengan mengukuhkan jaringan kerjasama bersama rakan yang diyakini seperti Oman demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Menurut Anwar, langkah memperluas kerjasama perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara kekal stabil.

Jelasnya, usaha itu juga penting bagi mengelakkan tekanan kos yang boleh memberi kesan kepada rakyat serta sektor perniagaan.

“Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks. Setiap langkah yang diambil adalah terarah, berpaksikan kepentingan rakyat, dan memastikan Malaysia kekal bersedia, berdaya tahan serta tidak terdedah kepada kejutan bekalan tenaga,” kata Perdana Menteri.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img