DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pengambilan kakitangan kesihatan termasuk doktor dan jururawat tidak akan terjejas susulan cadangan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, terdapat kekeliruan berhubung cadangan penyelarasan bajet yang disalah tafsir seolah-olah menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, langkah tersebut tidak melibatkan pengurangan perkhidmatan asas kepada rakyat, sebaliknya tertumpu kepada perbelanjaan tidak perlu dan bersifat berlebihan.
“Perubatan, pengambilan doktor baharu, jururawat, itu tak terjejas, tak terkesan. Pembinaan klinik tak terkesan. Cuma skop hospital yang mewah itu dikurangkan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya hari ini.
Bagi sektor pendidikan, Perdana Menteri menjelaskan, pembinaan bilik darjah dan kemudahan asas untuk menampung pertambahan pelajar juga tidak akan terjejas walaupun terdapat pelarasan peruntukan.
Sebaliknya kata beliau, penyelarasan itu hanya menyasarkan pengurangan perbelanjaan dalam aspek tertentu yang tidak kritikal termasuk penganjuran kursus dan program di luar negara.
“Untuk sekolah, pembinaan darjah-darjah, kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas,” katanya.
Tambahnya, kursus yang boleh dilaksanakan dalam negara akan diutamakan, selain menghentikan penganjuran majlis di hotel mewah dan menggantikannya dengan lokasi lebih sederhana seperti di kementerian.
“Yang kita rasa berlebih perbelanjaan besar-besar bagi kursus-kursus berlebih-lebih sangat. Itu kalau kursus yang ada dalam negara, hantar dalam negara, tidak di luar negara.
“Kemudian, majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Kemudian skop pembinaan yang kadang-kadang melebih daripada keadaan biasa, itu dikurangkan,” katanya lagi.
Sebelum ini Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan operasi susulan kesan konflik di Asia Barat.
Berdasarkan satu arahan dikeluarkan pada 29 April lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican memaklumkan, Pejabat Belanjawan Negara diminta untuk menyemak semula anggaran perbelanjaan yang masih berbaki di bawah Belanjawan 2026.


